Tuesday, 23 April 2013

10 artikel inovatif produk R&D UITM

1. Dari Sisa Buangan Kepada Industri Perusahaan Seni


Artikel Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin

Umum mengetahui bahawa orang Mesir yang mencipta kertas dari pokok Papyrus pada tahun 3,700 Sebelum Masihi manakala T’Sai Lun, Pegawai di Istana Maharaja Dinasti Cina menghasilkan kertas daripada pokok Buluh pada tahun 105 Selepas Masihi. Kini, Penyelidik UiTM dari Sarawak menghasilkan kertas kraf dari sisa buangan sagu. Pokok sagu atau nama saintifiknya Metroxylon Sagu Rottboll sejenis pokok serba guna yang biasanya digunakan sebagai bahan makanan, bahan asas untuk pembuatan minuman dan alkohol malah turut dijadikan makanan untuk ternakan.
kertas yang dihasilkan daripada pokok sagu




Industri  pemprosesan sagu yang semakin berkembang di Sarawak menyebabkan lambakan sisa buangan daripada pokok sagu yang telah diproses. Menyedari masalah ini, Wan Samiati Andriana Wan Mohamad Daud, Dr Margaret Chan kit Yok, Norazlin Abdullah dan Safrina Muhammad, penyelidik dari UiTM Sarawak menghasilkan produk inovasi pembuatan kertas kraf daripada sisa buangan sagu. Sisa buangan tersebut banyak didapati dari kilang-kilang sagu yang terdapat di Sarawak khususnya di kawasan Mukah dan Pusak.
Mereka mencipta teknologi untuk menghasilkan kertas kraf dari sisa buangan sagu tersebut yang bebas asid, mesra alam dan mudah dilupuskan. Kertas yang terhasil mempunyai kepelbagaian dari segi tekstur. Ini kerana, material yang diperolehi dari pulpa sagu lebih kuat dan lebih kasar dan kebiasaannya berwarna keperangan. Namun begitu ianya boleh dilunturkan bagi menghasilkan kertas berwarna putih  sesuai untuk pembuatan beg kertas kedai runcit, sampul surat dan pelbagai pembungkusan yang sesuai.
Kertas kraf yang dihasilkan dari sisa buangan sagu sesuai untuk dijadikan kotak hadiah, pembalut hadiah  atau hasil-hasil seni yang lain. Ianya turut sesuai dijadikan kertas lukisan kerana kertas sagu mampu menyerap dengan baik air dan cat warna yang digunakan oleh pelukis.
Produk yang dihasilkan daripada kertas pokok sagu
Teknologi yang dihasilkan oleh penyelidik UiTM ini dilihat sebagai alternatif untuk pengguna kraf yang mementingkan kertas yang mesra alam dan menyokong ‘teknologi hijau’. Teknologi ini juga merupakan jawapan kepada pengusaha kilang-kilang pemprosesan sagu di Sarawak untuk masalah lambakan sisa buangan sagu yang meruncing. Bukan itu sahaja, ianya menjadi pemangkin kepada pekebun sagu dan industri perusahaan seni untuk menghasilkan sesuatu yang baru iaitu kertas sagu.





2. Inovasi Baru Pembuatan Kek


Oleh: Puteri Murni bt Salleh Hudin
Rakyat  Malaysia gemar kepada makanan manis khususnya kek. Kek menjadi sesuatu yang wajib ada terutama pada majlis sambutan hari lahir, perkahwinan dan majlis keraian yang lain. Namun begitu kek mempunyai kandungan lemak dan gula yang tinggi yang merupakan penyumbang utama kepada masalah  obesiti dan kencing manis.



Kini, muncul inovasi yang  mampu mengatasi masalah tersebut. Penyelidik UiTM, Prof. Madya Dr Noriham Abdullah dan ahli kumpulannya dari Fakulti Sains Gunaan telah menemui kaedah untuk menjadikan kek lebih berkhasiat dan ‘sihat’. Mereka menggunakan kulit kupasan buah untuk dijadikan salah satu bahan dalam pembuatan kek.

Kek deli fiber yang sedia dikomersilkan
Prof. Madya Dr Noriham Abdullah dan kumpulannya memulakan kajian ke atas kulit kupasan buah apabila melihat kulit buah-buahan yang telah dikupas banyak dibuang dan tidak digunakan khususnya di cafe yang ada menghidangkan buah-buahahan sebagai pencuci mulut. Sehubungan itu, kajian ini dilihat bukan sahaja mampu mengatasi masalah pembuangan sisa kulit kupasan buah-buahan malahan boleh dijadikan sebagai alternatif lain untuk menggantikan bahan pengawet tiruan yang sedia ada di pasaran. Untuk menghasilkan bahan pembuatan kek daripada kulit kupasan buah-buahan tersebut, mereka mengeringkan kulit kupasan tersebut sebelum mengisar untuk menjadikannya dalam bentuk serbuk.
Kajian mereka mendapati kulit hasil kupasan buah-buahan tersebut mengandungi kadar oksida yang tinggi, mampu memanjangkan jangka hayat sesebuah kek. Prof. Madya Dr Noriham dan ahli  turut menghasilkan kek Deli Fiber yang bermanfaat untuk kesihatan dan berpotensi untuk dikomersilkan. Kek Deli Fiber tersebut mengandungi pelbagai khasiat dari bahan kulit kupasan buah-buahan yang digunakan dalam pembuatan kek tersebut. Antara khasiatnya adalah kandungan antioksida yang tinggi. Kebanyakkan penyakit seperti Alzheimer, kanser dan masalah jantung dikaitkan dengan ‘tekanan oksida’ dalam tubuh iaitu kerosakan tisu badan yang berpunca daripada tabiat pemakanan individu dan persekitaran. Penyelidik mendapati antioksida banyak terkandung dalam tumbuh-tumbuhan terutamanya buah-buahan. Kebanyakkan kajian berkenaan bahan antioksida ini dilakukan ke atas gentian atau pulpa buah berbanding kajian yang dijalankan oleh Prof. Madya Dr Noriham adalah kulit kupasan buah. Beberapa kajian yang pernah dijalankan menunjukkan bahawa kandungan antioksida lenih tinggi di dalam kulit dan biji buah berbanding di dalam pulpa buah.
Pingat emas yang diterima untuk penyelidikan ini
Kek Deli Fiber yang dihasilkan oleh beliau juga mempunyai kandungan fiber yang tinggi. Umum mengetahui bahawa fiber merupakan salah satu elemen utama untuk individu yang ingin menurunkan berat badan. Pengambilan fiber yang tinggi mampu meningkatkan daya imunisasi individu sekaligus membantu meningkatkan kadar metabolisma untuk proses pembakaran lemak dalam badan. Kajian ini juga menunjukkan kadar fiber yang terdapat dalam kulit buah adalah tinggi. Justeru, menambah ‘kulit kupasan buah’ dalam kek akan mengurangkan kandungan lemak dan menjadikan kek tersebut lebih ‘sihat’.
Tarikan utama dalam aspek pemasaran industri makanan adalah khasiat dan rasa. Inovasi ‘kulit buah’ ini merupakan satu idea baru untuk industri makanan yang masih mengekalkan daya tarikah utama tersebut. Bahan yang diperolehi daripada sesuatu yang dibuang dan tidak dipedulikan sebelum ini, mampu menjadi sumber yang murah dan mudah didapati, mampu meningkatkan kadar keuntungan untuk pengusaha industri makanan yang berani mencuba inovasi baru. Masyarakat masakini semakin menitik beratkan khasiat pemakanan dan pengusaha industri makanan perlu menggunakan bahan pembuatan makanan yang lebih ‘hijau’ dalam produk mereka. Ini kerana, kita adalah apa yang kita makan.



3. Fesyen Kiddy Kiddy Kid’s’ bawa mesej kesedaran  R& D dari UITM

Artikel Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin




 Masalah sosial yang melibatkan bayi dan kanak-kanak seperti pembuangan bayi dan penderaan terhadap kanak-kanak sering dipaparkan di dada akhbar. Kurangnya kesedaran oleh ibu bapa dan masyarakat di sekeliling terhadap kesejahteraan diburukkan lagi sikap ambil lewa akan kebajikan kanak-kanak menyebabkan hak asasi golongan ini terus dicabuli.
Prihatin dengan masalah tersebut, Fitrah Kamarudin mengambil inisiatif mencipta inovasi baru bagi menghantar mesej kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat supaya bersikap lebih prihatin kepada anak-anak. Beliau yang merupakan pelajar peringkat ijazah sarjana di Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA telah menghasilkan fesyen pakaian kanak-kanak yang diberi nama ‘Kiddy Kiddy Kid’s’ yang memaparkan mesej-mesej kesedaran untuk mengingatkan ibu bapa dan masyarakat tentang konsep penyayang.
Berbanding medium penyampaian seperti media elektronik dan media cetak yang lain yang tempoh masa penyampaian adalah terhad, Fitrah percaya fesyen yang dihasilkan oleh beliau mampu menjadi medium penyampaian mesej yang lebih baik kerana tempoh masanya yang lebih panjang iaitu sepanjang pakaian tersebut dipakai oleh kanak-kanak. Malah, dengan penggunaan warna yang terang dan menarik yang digunakan pada fesyen pakaian ‘Kiddy Kiddy Kid’s’ tersebut, ia mampu menarik perhatian orang ramai untuk melihat, membaca sekali gus menghayati mesej kesedaran yang beliau cuba sampaikan.
Beliau yang ditemui semasa pertandingan 22nd International, Invention and Design 2011 yang berlangsung baru-baru menyatakan bahawa beliau mengaplikasikan karakter kartun ‘Irah’ ciptaan beliau sendiri yang merupakan seorang gadis ceria, baik hati, gemar bermain dengan kanak-kanak serta gemar mengambil berat akan keadaan di sekelilingnya.  Pemilihan kartun sebagai agen penyampai mesej dilihat lebih berkesan dalam memberi didikan bukan sahaja kepada golongan kanak-kanak, namun kepada masyarakat umumnya kerana sifatnya yang lembut, mesra pengguna dan senang difahami.
Kanak-kanak menggayakan pakaian rekaan Fitrah
Antara mesej yang Fitrah sampaikan dalam fesyen pakaian yang dihasilkan oleh beliau adalah mengingatkan ibu bapa akan kepentingan penggunaan tali pinggang kaledar oleh kanak-kanak, kesan buruk terhadap kanak-kanak yang suka makan gula-gula dan bahaya air yang ditakung di dalam baldi kepada kanak-kanak. Isu-isu yang diutarakan adalah ringan dan biasa dilakukan oleh ibu bapa dan masyarakat. Justeru, mesej tersebut lebih mudah diterima dan difahami oleh golongan dewasa untuk bersikap lebih prihatin terhadap anak-anak.
Fitrah bersama pingat emas yang diraih di ITEX 2011
Fitrah menggunakan material seperti fabrik kapas dan fabrik kapas campuran dalam menghasilkan pakaian kanak-kanak tersebut kerana ia selesa dan mudah menyerap peluh, sesuai dengan perkembangan kanak-kanak yang sentiasa aktif. Untuk menghasilkan imej kartun, Fitrah menggunakan cat fabrik untuk melukis dan mewarnakan imej kartun tersebut. Pakaian ‘kiddy Kiddy Kid’s’ yang dihasilkan dalam pelbagai warna dan corak, turut didatangkan dalam rekaan kemeja T, jaket dan seluar.

Produk inovasi unik ini telah memenangi pelbagai pingat dan anugerah di peringkat kebangsaan antaranya pingat emas dan Anugerah Kreatif dan Inovatif di pertandingan National Research and Innovation Competition (NRIC) dan yang terbaru beliau telah meraih pingat emas di 22nd International, Invention and Design 2011 (ITEX 201


4. Pembungkus Plastik Mesra Alam 

Artikel Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin




 Tahukah anda? Plastik dari sektor pertanian sahaja, di dunia setiap tahun mencapai 100 juta tan. Jika sampah plastik ini dibentangkan, maka ianya dapat membungkus bumi sehingga sepuluh kali lipatan.  Penggunaan bahan plastik akan menyebabkan limpahan sampah plastik kerana sifatnya tidak terdegredasi iaitu sukar diuraikan. Memburukkan lagi keadaan, bahan-bahan plastik ini juga bukan sahaja mendatangkan kesan buruk  kepada alam sekitar malah penggunaannya mampu memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia.
Plastik terhasil dari polimer yang terbentuk dari polimerisasi molekul-molekul kecil (monomer) hidrokarbon yang membentuk rantai yang panjang dengan struktur yang kaku. Plastik merupakan senyawa sintesis dari minyak bumi (terutama hidrokarbon rantai pendek) yang dibuat dengan reaksi polimerisasi molekul- molekul kecil (monomer) yang sama , sehingga membentuk rantai panjang dan kaku dan akan menjadi padat setelah temperatur pembentukan nya. Plastik memiliki titik didih dan titik beku yang beragam , tergantung dari monomer pembentuknya. Monomer yang sering digunakan adalah etena (C2H4), propena (C3H6), styrene (C8H8), vinil klorida, nylon dan karbonat (CO3) (Sumber: Makalah Seminar Kimia, 2009). Hampir semua plastik sukar untuk diuraikan. Plastik yang memiliki ikatan karbon rantai panjang dan memiliki tingkat kestabilan yang tinggi, sama sekali tidak dapat diuraikan oleh mikroorganisme.
Kebanyakan plastik seperti PVC, ditambah dengan suatu bahan pelembut (plasticizers) untuk memantap dan meneguhkan PVC tersebut. Bahan pelembut ini kebanyakannya terdiri atas kumpulan ftalat. Beberapa contoh pelembut yang lain seperti epoxidized soybean oil (ESBO), di(2-ethylhexyl)adipate (DEHA), dan biphenyl poliklorin (PCB) yang digunakan dalam industri pembungkusan dan pemprosesan makanan (Sheftel, 2000).
Berdasarkan penelitian di Amerika Syarikat, plastik PVC yang menggunakan bahan pelembut DEHA mampu mencemari makanan dengan mengeluarkan bahan pelembut ini ke dalam makanan. Data di Amerika Syarikat pada tahun 1998 menunjukkan bahwa DEHA dengan konsentrasi tinggi (300 kali lebih tinggi dari paras maksimum DEHA yang ditetapkan oleh FDA/ badan pemantauan ubat dan makanan AS) terdapat pada keju yang dibungkus dengan plastik PVC (Awang MR, 1999).
Namun begitu, kemajuan yang dicapai oleh industri polimer pada hari ini menyebabkan bahan-bahan berasaskan plastik sangat mudah didapati seperti bekas makanan dan minuman dan beg plastik. Para peniaga makanan dan kedai runcit masih memilih untuk menggunakan plastik tersebut kerana harganya yang lebih murah dan ianya mampu memaksimumkan keuntungan. Manakala masyarakat pula cenderung menggunakan pembungkus plastik kerana ia lebih praktikal dan mudah daripada membawa beg dan bekas makanan sendiri semasa keluar bersantai ataupun membeli-belah. Perkara ini menyebabkan usaha kerajaan dalam kempen-kempen yang dijalankan bagi mengurangkan penggunaan bahan-bahan plastik kurang mendapat sambutan.  Ini juga adalah disebabkan bahan plastik terurai bio sepenuhnya amat mahal . Selain harganya, kekuatan plastik bio terurai ( Biodegradable) agak rendah dan agak sensitif terhadap suhu dan kelembapan.  Pihak pengilang memang kurang berjaya untuk menarik pengguna menggunakan plastik biodegradasi disebabkan harganya yang dibawah jangkauan pasar2 raya atau peniaga biasa. Oleh itu, plastik yang murah tapi boleh terurai dengan bahan penambah bahan asli daripada tumbuhan adalah amat praktikal dan disyorkan sebagai langkah terbaik buat masa ini sehingga plastik terurai bio ( totally biodegradable plastik) dapat mememuhi keperluan ekonomi dan kekuatan yang diperlukan.
Amir bersama plastik mesra alam ciptaan beliau
Mengambil inisiatif untuk mewujudkan ‘situasi menang-menang’ di antara kempen kerajaan dan juga masyarakat, Prof. Madya Dr. Rahmah Mohamed bersama pelajarnya, Amir Fakhrul Islam Abdullah, telah menghasilkan ‘Bahan Penguraian Plastik Mesra Alam’ untuk pelbagai jenis industri pembungkusan. Mereka telah menghasilkan bahan penambah pengurai polimer dari sumber semulajadi yang boleh dicampurkan dalam polimer sintetik atau bio-uraian yang biasa digunakan oleh industri polimer sekarang. Bahan penambah pungurai polimer ciptaan mereka ini membantu mempercepatkan proses penguraian plastik sehinggga dua bulan sahaja berbanding bahan plastik biasa yang mengambil masa puluhan tahun untuk mereput atau terurai. Plastik yang dihasilkan menggunakan produk inovasi mereka mampu terurai melalui haba, kelembapan dan cahaya matahari.  Oleh yang demikian, produk ini merupakan alternatif terbaik bagi mengatasi masalah limpahan sampah dari bahan plastik di pusat pelupusan sampah. Bukan itu sahaja, ia juga dapat mengurangkan masalah pencemaran bahan plastik di Malaysia sekaligus mengatasi kesan sampingan yang terhasil dari bahan penambah pengurai polimer yang lain.
Amir bersama pingat gangsa yang diraih di SIIF 2010
Produk juga amat berpotensi untuk dikomersilkan kerana kos penghasilannya yang lebih murah dan mudah didapati di Malaysia berbanding bahan sintetik yang diimport dari negara China dan Kanada. Produk ini telah dipatenkan. Mengkomersialkan produk inovasi ini juga secara tidak langsung membantu industri domestik yang terlibat kerana salah satu bahan untuk menghasilkan produk ini didapati dari minyak asli dan penambah yang mesra alam.  Produk ini telah meraih pingat gangsa di pertandingan penyelidikan dan pembangunan Invention and New Product Exposition 2010 (INPEX) yang berlangsung di Pittsburgh, Amerika Syarikat dan Korean International Invention Fair (SIIF) 2010 di Seoul, Korea Selatan.
Industri polimer yang menghasilkan produk berasaskan bahan plastik seperti pembungkusan makanan dan minuman, perubatan, peralatan rumah dan pejabat disarankan untuk mengambil inisiatif menggunakan produk ini dani menyahut seruan kerajaan agar bersama-sama menjaga alam sekitar demi mewujudkan dunia yang lebih baik bagi generasi akan datang. Produk teknologi hijau ini diharap dapat diguna pakai oleh semua lapisan masyarakat .


5. Inovasi Kasut Tumit Tinggi 







Artikel Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin

 Wanita dan kasut tumit tinggi ibarat irama dan lagu. Sukar dipisahkan. Wanita yang memakai kasut bertumit tinggi tampak anggun dan berkeyakinan. Namun pemakaiannya dalam jangka masa yang panjang boleh mengundang kesakitan kepada si pemakainya seperti kesakitan pada bahagian rahang, leher dan kepala, gangguan kitaran haid malah membawa kepada masalah kesuburan.

Kasut bertumit tinggi
Justeru, penyelidik UiTM, Shaliza Shariff dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka telah mencipta kasut tumit yang boleh ditukar mengikut keperluan semasa seseorang wanita. Kasut ciptaan beliau mempunyai tumit yang boleh ditanggalkan dan mudah dipasang semula mengikut keselesaan pemiliknya. Kasut ciptaan beliau boleh dipasang tumit berketinggian daripada tiga inci dan ditukar kepada tumit serendah satu inci setengah. Ini kerana, hasil daripada kaji selidik yang dijalankan oleh Shaliza di tiga buah organisasi swasta, maklum balas yang diperoleh mendapati kebanyakan wanita yang bekerja mempunyai pelbagai kasut di pejabat untuk memenuhi keperluan yang berbeza. Sebagai contoh kasut tumit tinggi digunakan semasa mereka menghadiri mesyuarat atau pembentangan kertas kerja manakala kasut leper pula dipakai semasa melaksanakan kerja-kerja pejabat.

Kasut tumit yang telah dipasang platform untuk keselesaan
Kasut ciptaan Shaliza direka dengan bentuk separuh bulatan di bahagian depan untuk memberi ruang yang cukup untuk jari kaki bergerak. Langkah ini membantu mengurangkan kadar keletihan pada kaki. Kasut ini menggunakan bahan Polyvinyl chloride (PVC), manakala busa dari Ethylene-vinyl acetate (EVA) digunakan sebagai pad kaki kerana bahan tersebut bersifat lembut, fleksibel dan mampu menyerap tekanan dari berat badan pengguna. Bahagian tumit kasut ini menggunakan sejenis penyambung yang bertindak untuk melekat dan menanggalkan tumit kasut dengan mudah. Penyambung tersebut mempunyai selak di keliling tumit untuk mengelakkan tumit yang dipasang tertanggal daripada kasut.

Shaliza berhasrat untuk mencari industri yang boleh mengkomersialkan inovasi pada kasut tumit tinggi ini. Tambahnya, inovasi ini boleh diaplikasikan pada pelbagai jenis rekaan kasut tumit agar pengguna wanita mempunyai pelbagai pilihan dalam pada masa yang sama turut menjaga kesihatan kaki.


6. Inovasi jubin dari kulit telur 

Artikel Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin






 Sekumpulan penyelidik dari UiTM berjaya menghasilkan inovasi pembuatan jubin lantai daripada bahan buangan tertua di dunia iaitu kulit telur.
Jubin yang telah siap dihasilkan dari kulit telur
Rassimi Abdul Ghani, bekas pelajar peringkat sarjana UiTM berkata, idea menghasilkan jubin dari kulit telur tercetus apabila melihat longgokan kulit telur yang dibuang. Beliau yang mengkhusus kepada pengajian polimer menyedari bahawa meskipun kulit telur rapuh dan mudah dipecahkan namun ia sangat kukuh dan kuat apabila bersaiz mikro. Justeru, beliau menggunakan bahan polimer khas yang diadun dengan serbuk kulit telur dan kemudian diproses untuk dijadikan jubin lantai. Proses penghasilan jubin ini sangat mudah dan ringkas.

Beberapa siri ujian telah dijalankan untuk mengenal pasti kualiti jubin ini. Hasilnya, mereka mendapati jubin istimewa ini mampu menahan kepanasan sehingga 750° Celsius dan menahan beban dan hentakan sehingga 500 kilogram. Jubin ini bukan sahaja sesuai digunakan di rumah malah di pejabat dan juga industri. Ini kerana jubin ini mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti tidak mudah terbakar, mudah dibersihkan dan tahan calar.

Rassimi menerima pingat perak di INPEX 2010
Menariknya, jubin ini mempunyai kedua-dua belah sisi yang boleh digunakan. Rassimi juga menjelaskan bahawa jubin boleh diwarnakan mengikut cita rasa pengguna dengan mencampurkan dengan bahan pewarna semasa proses adunan. Oleh itu, jubin ini mampu menarik minat pengguna-pengguna baru untuk mencuba menggunakan jubin mesra alam ini. Penghasilan jubin ini yang mudah dengan menggunakan sumber yang boleh diperbaharui boleh dijual dengan harga yang murah. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 27801,55 tan kulit telur dibuang ke tapak pelupusan setiap tahun. Jumlah ini jelas menunjukkan Ssmber bahan utama penghasilan jubin ini iaitu kulit telur adalah banyak dan mudah didapati. Industri pembuatan bahan kemasan lantai dialu-alukan untuk mengkomersialkan inovasi ini memandangkan jubin ini telah melepasi semua standard piawaian yang dikeluarkan oleh American Society for Testing and Materials (ASTM).
??
Jubin ini telah meraih pengiktirafan apabila menerima pingat perak di pertandingan inovasi International New Product Exposition (INPEX 2010) di Amerika Syarikat dan British Invention Show (BIS 2009), London, United Kingdom.



7. Penyelidik UiTM hasil tepung dari bendi

Artikel Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin




Bendi ataupun nama saintifiknya Abelmoschus esculentus ditanam untuk pasaran kebanyakannya domestik. Seluas 1,620 hektar bendi ditanam dengan pengeluaran hasil sebanyak 20,980 tan bernilai RM63.2 juta . Kawasan utama penanaman bendi ialah di Johor (381 hektar), Kedah (261 hektar), Sarawak (222 hektar), Kelantan(135 hektar). Menurut kajian yang telah dilakukan, bendi kaya dengan kalsium dan mengandungi  90% air, 7% karbohidrat, 2% protein serta 1% fiber, malah bendi juga mengandungi mineral and vitamin yang baik untuk tubuh.

Pokok bendi mengambil masa selama 45 hari untuk berbuah dan pokoknya boleh bertahan selama lebih kurang tujuh hingga lapan bulan tanpa penanaman semula. Justeru, pertanian bendi menjadi pilihan utama para petani untuk menjalankan projek penanaman memandangkan sayur ini mudah ditanam dan dijaga serta mampu memperoleh hasil dengan cepat.
Noriza bersama biskut dari tepung bendi
Namun begitu, sekiranya sayur ini lambat dipetik dan dijual, ia akan menjadi liat dan keras. Oleh yang demikian, kerja memetik hasil ini perlu dilakukan setiap hari untuk mengelakkan saiz bendi daripada terlalu menjadi besar dan panjang. Ini kerana untuk tujuan pasaran, kebanyakan pengguna menggemari sayur bendi yang bersaiz sederhana dan tidak terlalu besar.
Menyedari masalah lambakan sayur bendi yang sudah tua dan tidak mampu dijual, Noriza Ishak dan ahli kumpulannya dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM telah menghasilkan tepung dari sayur bendi.  Tepung ini dihasilkan menggunakan bendi yang matang dan tua. Mereka menggunakan kaedah pengeringan untuk memudahkan bendi dikisar untuk dijadikan tepung. Tepung tersebut kemudian sesuai digunakan untuk pembuatan snek atau makanan ringan sekaligus mampu menjadi alternatif untuk menghasilkan makanan ringan yang berkhasiat.

Trofi yang diterima untuk inovasi tepung bendi
Inovasi ini membuka peluang kepada petani yang menjalanan projek penanaman bendi untuk menceburi industri baru iaitu pembuatan makanan dan membantu mereka menjana pendapatan sampingan. Memandangkan bendi bukan sayuran yang bermusim maka petani tidak menghadapi masalah kekurangan bahan mentah. Tepung bendi juga sangat ekonomi untuk dipasarkan kerana kos penghasilan yang murah dan bahan mentah yang mudah didapati mampu memberi pulangan yang lumayan kepada petani dan pengusaha industri yang berkaitan.
Inovasi ini pernah meraih pingat emas di pertandingan Penyelidikan dan Pembangunan, Brussels Innova 2010 di Belgium. Noriza Ishak juga merupakan finalis untuk Anugerah Pencapaian Malaysia 2011 kerana pencapaian beliau dalam penyelidikan teknologi makanan.

8. Penyelidik UiTM hasilkan Alat Bantu Mengajar untuk Kanak-Kanak Disleksia

Artikel Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin



Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada 2009, terdapat seramai 314,000 murid di Malaysia menghidap disleksia iaitu sindrom yang mampu merencatkan kebolehan individu membaca dan menulis. Disleksia (Dyslexia) adalah gabungan daripada perkataan yunani iaitu ‘dys’ yang bermaksud kesukaran atau kepayahan dan ‘lexis’ yang bermaksud huruf. Di Malaysia, disleksia hanya diperkenalkan kepada khalayak ramai buat pertama kalinya pada tahun 1993 melalui ‘Seminar Kebangsaan Pengenalan Kepada Disleksia’ yang dianjurkan oleh Kelab Rotary, Gombak.

Disleksia bukan penyakit tetapi gangguan pelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Mereka biasanya mempunyai masalah membaca, menulis, mengingat dalam jangka masa yang singkat, membezakan kiri dan kanan, dan juga menerima arahan yang banyak. Walaupun kanak-kanak disleksia memiliki IQ yang sama atau lebih daripada normal, mereka sering dilabelkan sebagai pelajar yang lembab. Akibatnya, ramai kanak-kanak yang mengidapi disleksia mempunyai masalah pencapaian akademik yang rendah di sekolah. Bahkan, jika masalah ini tidak ditangani di peringkat awal, kanak-kanak disleksia akan menghadapi tekanan hidup sehinggalah ke peringkat dewasa. Apabila masalah ini tidak ditangani dari peringkat awal, mereka akan mempunyai masalah sosial, psikologi, kesihatan, kehilangan peluang pekerjaan, mengalami tekanan emosi, dan bahkan tidak mempunyai asas kemahiran hidup seperti membaca menulis dan mengira. Justeru, mereka memerlukan kaedah pembelajaran dan alat bantu mengajar yang sesuai dan efektif.

Dari kiri: Fadilahwati, Ronaldi dan Fattawi
Penyelidik UiTM, Ronaldi Salleh dan Professor Dr Fattawi Mokhtar dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka telah bekerjasama dengan Fadilahwati Abdul Rahman dari Fakulti Pendidikan UiTM untuk menghasilkan alat bantu pembelajaran interaktif. Produk inovasi tersebut dikenali sebagai Komik Interaktif Mudah Alih Disleksia atau D-mic (Dyslexia Mobile Interactive Comic) dihasilkan untuk membantu kanak-kanak disleksia belajar mata pelajaran di peringkat sekolah rendah dengan menggunakan pendekatan komik interaktif yang dihasilkan dalam bentuk aplikasi mudah alih yang senang dibawa kemana-mana. Produk inovasi ini telah meraih pingat Emas dan Anugerah Khas di Pertandingan Rekacipta bertaraf dunia EUREKA 2010 yang berlangsung di Brussels, Belgium pada tahun lepas.


Produk inovasi yang pertama seumpamanya di Malaysia mempunyai pengisian pembelajaran (learning content) yang menggabungkan kaedah visual animasi, teks dan muzik audio untuk menarik minat kanak-kanak disleksia. Oleh kerana produk ini dihasilkan dalam bentuk aplikasi mudah alih, ianya boleh dipasang ke Personal Digital Assistant (PDA) atau Telefon Pintar (Smartphone), Portable Sony Play Station (PSP), dan juga komputer Tablet seperti iPad atau Samsung Galazy Tab serta kompter peribadi (PC). Pengguna hanya perlu membuka fail yang berkenaan dan terus menggunakannya. Justeru, produk ini amat sesuai untuk digunakan oleh sekolah-sekolah yang mempunyai kelas pemulihan khas ataupun ibu bapa yang mempunyai anak penghidap disleksia sebagai alat bantu pembelajaran yang interaktif dan mudah digunakan.




 9. Penyelidik UiTM hasilkan snek daripada biji rambutan

Artikel Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin
Chef Azli bersama medal yang pernah diraih untuk inovasi ini



Bermula daripada tergigit biji rambutan secara tidak sengaja, seorang penyelidik UiTM berjaya menghasilkan snek berkhasiat daripada biji rambutan. Snek yang dipanggil Rambuseed Florentine menggunakan 40 peratus biji rambutan yang telah dikeringkan sebagai bahan utama. Mohamad Azli Razali yang merupakan pensyarah di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan menyatakan bahawa Florentine adalah sejenis manisan yang berasal dari Negara Itali. Manisan tersebut terdiri daripada pelbagai jenis kacang seperti badam, walnut dan hazel dan disaluti dengan gula karamel. Beliau yang juga merupakan juara pertandingan realiti memasak “Maggi Mencari Bintang” telah mengadaptasi makanan Itali tersebut mengikut selera tempatan.
Proses penyediaan bar tenaga rambuseed



Keunikan produk ini adalah ianya menggunakan bahan terbuang. Ini kerana kebiasaanya biji rambutan tidak dimakan dan akan dibuang begitu sahaja. Justeru, penggunaan biji rambutan untuk snek ini dilihat sebagai salah satu cara untuk mengoptimumkan penggunaan biji rambutan. Selain daripada itu, penggunaan biji rambutan yang telah dikeringkan dapat mengurangkan kos pembuatan snek tersebut. Ini kerana kacang seperti badam,walnut dan hazel adalah mahal memandangkan kacang tersebut diimport dari luar negara. Lebih istimewa, meskipun rambutan merupakan buah-buahan yang bermusim,biji rambutan boleh dikeringkan dan disimpan bagi memenuhi permintaan di luar musim buah rambutan.




Rambuseed Florentine sedia dipasarkan


Snek ini juga terbukti mampu dijadikan sebagai makanan kesihatan. Menurut kajian yang dilakukan oleh Solis-Fuentes et al., 2010 daripada Journal Bioresource Technology menyatakan bahawa biji rambutan mengandungi nutrisi seperti protein (7.80%) karbohidrat (46%) , serat (11.6%) selain mengandungi asid lemak seperti oleic (40.3%), arachidic (6.1%), palmitic (7.1%) dan stearic  (6.3%). Asid oleic dan Asid Stearic  mampu mencegah penyakit berkaitan jantung. Produk unik ini telah memenangi pingat gangsa di pertandingan rekacipta Inventions, Innovations and Design (IID) peringkat UiTM. Produk ini telah mendapat maklumbalas yang baik daripada pengunjung yang menghadiri pertandingan itu. Rasanya yang rangup, lemak manis dan sedap menjadi tarikan kepada orang ramai. Azli yakin produk ini akan mendapat sambutan sekiranya dipasarkan kerana pelbagai snek kacang yang telah berada dipasaran tetapi belum ada pihak yang menghasilkan snek daripada biji rambutan ini. Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk ini bolehlah mengunjungi blognya di www.azlirazali.blogspot.com atau email azlirazali77@yahoo.com.
ARTIKEL From : UITM

10. UiTM hasilkan biogas daripada tahi ayam

 


KUALA KRAU 6 Sept. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Bandar Tun Abdul Razak di sini mencipta sejarah apabila berjaya menghasilkan biogas berasaskan najis tahi ayam.

Projek kajian reban ayam dengan aplikasi sistem biogas itu dilakukan secara usahasama antara Teltracon Resources, SABAD Capital Sdn. Bhd. dan pasukan penyelidik UiTM Pahang.

Mereka berjaya membuktikan bahawa najis ayam boleh menjadi sumber bahan api dan gas yang boleh digunakan untuk memasak serta tenaga elektrik.

Satu majlis penyerahan tapak projek kepada UiTM Pahang disempurnakan oleh wakil SABAD Capital kepada Rektor UiTM Pahang, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Abd. Rahman.

Hilmi berkata, beliau berbangga dengan kejayaan itu hasil daripada usahasama oleh kedua-dua syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera. Menurutnya, hasil kajian itu memberi manfaat besar kepada pengguna khususnya dalam penggunaan bekalan elektrik berasaskan sumber alam semula jadi yang boleh diperbaharui.

"Kejayaan penemuan produk biogas berasaskan najis ayam bertepatan dengan tema UiTM Pahang sendiri iaitu Kampus Khazanah Alam yang mempromosikan kelestarian khazanah alam untuk manfaat kehidupan sejagat," katanya ketika berucap selepas majlis tersebut di sini baru-baru ini.

Projek yang dimulakan sejak setahun lalu bermula di peringkat awal dengan menjalankan kajian menggunakan botol mineral sehingga kepada skala besar.

Sementara itu, wakil SABAD Capital, Azhar Ahmad berkata, syarikatnya membiayai kos projek tersebut dan berbangga atas kejayaan itu.

Menurutnya, penemuan baru itu bakal membuka ruang perniagaan dalam industri penternakan ayam apabila kos industri ternakan ayam dapat dikurangkan.

Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd








No comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

About